Tentang perasaanKU ^_^

Friday, August 12, 2011

Adat Perkahwinan Orang Cina

PERKAHWINAN
Pengenalan

Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

Merisik

Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

Meminang

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.

Bertunang

Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.

Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.


Perkahwinan Masyarakat Cina

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.

KELAHIRAN
Pengenalan :
Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik.Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.

Pantang Larang

Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan diantaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang �tajam� seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang dikandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.

Selepas Lahir

Adat-adat berikut diamalkan oleh masyarakat Cina selepas melahirkan bayi.

Berpantang

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Kenduri

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

Mencukur Rambut

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Memberi Nama

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir.

Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan.

Bunyi nama mestilah sedap didengar.

Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan.

Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat.

Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan.

Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitab-kitab tertentu.


KEMATIAN
Pengenalan
Masyarakat Cina begitu berpegang teguh kepada adat resam yang berkaitan dengan soal-soal kematian. Setiap adat yang dijalankan mempunyai maksud yang tersendiri. Berikut adalah penerangan mengenai adat resam masyarakat Cina berkaitan kematian.

Semasa Kematian

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.

Penghormatan terakhir kepada si mati

Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan ,mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini seolah-olah menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan.

Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik . lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan.


Penghormatan terakhir

Mayat diarak ke jirat

Ahli keluarga berarak ke jirat

Keranda dibawa dengan van

Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhenti-henti supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat.

Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.




Semasa Pengebumian

Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali dan lubang tersebut haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda. Bagi masyarakat Cina tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik si mati. Oleh itu liang lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati. Ini adalah penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak. Kini amalan tersebut telah berkurangan kerana telah banyak kejadian menggali lubang kubur dilaporkan sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi. Hanya kertas yang bercop bentuk duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian mengorek lubang kubur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Upacara pengebumian

Bagi masyarakat Cina Kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang bakal dikecapi apabila seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tanah yang rata. Kebanyakan tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran jalan raya. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan memudahkan roh si mati menemui jalan pulang.

Upacara pengebumian

Selain itu tanah perkuburan juga dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan yang cantik samada daripada ukiran, warna, atau bentuk. Ukiran ini sebagai melambangkan kekayaan si mati ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan mempunyai bentuk yang menarik menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si mati layak menikmati kemewahan selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Cina menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli keluarga yang meninggal dunia.

Selepas Kematian

Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani adat berkabung. Baju hitam dipakai beberapa hari sehinggalah hari perkabungan tamat. Setelah itu barulah pakaian warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan terus memakai baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.

Jirat cina biasanya dibina di kawasan berbukit


Membakar duit untuk si mati


Contoh duit yang dibakar semasa kematian
















1 comment:

  1. hello um..... casn u plz improve your page coz there is very less photos bcos for people who wants to make a buku skrap, folio and stuff anyway .... for me
    Preview : B/C
    Wallpaper : A-
    Attractive : B
    All together : B-

    Plz improve ..... thx :D

    ReplyDelete